Sabtu, 12 November 2016

Respon Pembaca Buku Gelap Mata.

Akmal A.
Jan 12, 2016 Akmal A. rated it really liked it
 
Gelap Mata membuka mata aku tentang isu yang berkaitan dengan golongan OKU. Ironinya aku baru tersedar tentang perkara ini yang sering kali kita yang dianggap 'sempurna' memandang perkara ini remeh sekali. Saudara Rosli mengkritik dan menerangkan suasana yang berlaku dalam komuniti OKU walaupun tidak rinci tetapi cukup sekadar membuka minda para pembaca. Penulis mengajak pembaca khususnya, rakyat Malaysia umumnya memberi pandang baru tentang makna OKU bukan sekadar simbol simpati tapi sebagai makhluk ciptaan tuhan yang hidup bersama-sama. Dalam buku ini ada menceritakan tentang pengalaman saudara Rosli ketika melintas jalan yang dibantu oleh seorang pelancong Jerman. Pelancong tersebut hairan kenapa rakyat Malaysia tidak peduli dengan golongan OKU seolah-olah seperti makhluk yang jijik dan keadaan ini jauh berbeza di Jerman di mana orang awam berebut-rebut ingin membantu Sang OKU melintas jalan.

Tidak hairanlah mengapa Jerman mengacapi nikmat yang melimpah ruah sejak akhir-akhir ini dek kerana kefahaman mereka terhadap ilmu. Begitulah janji Allah kepada sesiapa sahaja yang meninggikan ilmu, tidak kira Isalam atau bukan Islam. Menurut Syed Naquib Al Attas, kefahaman ilmu yang tinggi mendorong seseorang itu kearah kebenaran dan berlaku adil. Jika dilihat kembali kepada sejarah, terdapat juga Nabi yang mempunyai masalah OKU spt Nabi(gagap), Nabi Ya'akub (buta) dan Nabi Ayub (penyakit aneh). OKU bukanlah ganjil dalam sejarah manusia. Malah Nabi Muhammad sendiri pernah memberi amanah kepada sahabat yang buta dan cacat untuk menjaga Madinah.

Barat pula telah membuktikan yang OKU juga mampu memberi sumbangan kepada tamadun manusia seperti Albert Einstein, Leonardo Da Vincci, Stephen Hawking dan juga Stevie Wonder. Barat memberikan contoh kepada kita yang OKU bukanlah manusia yang hanya layak disimpati tetapi di hormati haknya. Itulah yang diterangkan dan apa yang dicitanya untuk Malaysia yang lebih baik. Rosli telah memulakan gerakan politik OKU bangkit bertujuan untuk memperjuangkan hak-hak komuniti OKU terutamanya dari segi kebajikan dan ekonomi bukan sahaja dari segi bantuan malah meliputi hal-hal pekerjaan, pendidikan dan sebagainya. Gerakan ini merupakan langkah awal bagi menyedarkan rakyat Malaysia tentang hal mereka yang perlu dititik beratkan.

Selasa, 8 November 2016

Sekelumit Kisah Hidup

Sekelumit Kisah Hidup.

Saya tidak malu untuk memberitahu; saya telah dilahirkan sebagai OKU penglihatan. Sedari kecil saya sangat pendiam dan selalu mengasingkan diri kerana diejek oleh teman-teman sepermainan. Semuanya telah saya harungi dengan tabah. Saya dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang boleh dikirakan miskin; tinggal rumah yang berdindingkan buluh, beratap rumbia dan cuma diterangi oleh lampu gasolin.

Ayah cuma penarik beca dan kadang-kadang mengambil upah memikul barangan peraih dari stesen keretapi Pasir Mas ke gudang simpanan. Menurut cerita ayah, rezekinya bertambah semenjak saya dilahirkan. Ya, ayah redha dengan segala pemberian Tuhan dan saya anaknya adalah anugerah terindah buatnya.

Seperti kanak-kanak lain, saya sudah merentasnya; memanjat pokok, mandi sungai, berkubang lumpur hatta bertumbuk dengan rakan sebaya. Diejek dan dibuli kerana buta juga adalah asam garam yang begitu banyak membentuk jiwa.

Ayah selalu bermadah; hidup perlu selalu tabah kerana orang tabah saja boleh hidup. Ayah seorang pendiam dan tak banyak bercakap tapi kalau bercakap sudah tentu membuatkan hati anak-anaknya sebak. Saya adalah anaknya yang selalu saja sebak bila rindu pada ayah.

Dulu, saya tak pandai pakai kasut; mana kanan mana kiri. Ayah belikan kasut yang berlubang di bahagian sisi dalam, jadi katanya kalau lubangnya di dalam kasut sudah betul dipakai. Ayah memang seorang yang kreatif.

Di peringkat awal, saya bersekolah sighted dan diletakkan paling hadapan dalam kelas tapi tetap tak nampak apa-apa pun tulisan di papan hitam. Walaupun dalam darjah 1, saya masih juga tak tahu menguruskan diri seperti mandi dan memakai baju sendiri apa lagi menulis huruf; hanya bermain tanah liat atau menconteng kertas semasa guru mengajar.

Saya bernasib baik kerana guru besar sekolah berketurunan Siam memberitahu ayah bahawa ada sekolah untuk kanak-kanak OKU penglihatan. Guru besar di sekolah tersebut menasihatkan ayah supaya menghantar saya ke sekolah khas. Guru tersebut mencadangkan ayah merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Barulah ayah tahu, saya perlu didaftarkan sebagai OKU sebelum boleh memasuki sekolah khas.

Tapi ayah keberatan dan risau kerana sekolahnya berada di luar Kelantan. Kebimbangan ini telah menjadi polemik besar dalam keluarga. Ibu tetap berkeras mahukan saya tetap bersekolah. Menurutnya siapakah mahu menjaga saya jika mereka meninggal dunia. Sekurang-kurangnya biarlah ada sedikit pelajaran tidak kiralah sampai tahap mana.

Sebagai orang kampung yang hanya bekerja sebagai penarik beca, berurusan dengan pejabat kerajaan memang menyukarkan. Ayah perlu mendaftarkan saya sebagai OKU sebelum menghantar ke sekolah. Tapi ada beban lain yang perlu dihadapi, macam mana mahu mencari perbelanjaan menghantar saya ke sekolah?

Setelah memasuki sistem pendidikan khas di Johor Bharu banyak perkara-perkara baru yang saya pelajari. Semenjak sekolah rendah lagi saya adalah yang paling bodoh. Saya tidak pandai memakai kasut dengan betul. Tidak dapat membezakan antara sebelah kiri atau kanan. Saya selalu didenda kerana tak pandai sifir atau mengeja Bahasa Inggeris dan akan diluku oleh guru agama kerana tidak menghafal doa dan surah al-Fatihah.

Kami dulu yang rabun kena belajar dua jenis tulisan, Braille dan sighted. Tapi masa itu saya tak tahu membezakan huruf kecil sighted “b” dan “d”, selalu saja terbalik bila membaca dan menulis sehingga sampai ke sekolah menengah. Saya berusaha keras menguasai tulisan biasa dan sekarang sudah mampu menulis tulisan tangan dengan cantik.

Mungkin itu juga antara faktor mengapa saya minat membaca dan berfikir sejak kecil lagi. Masa-masa menyendiri dari teman-teman sepermainan selalu membuatkan saya memperolehi dimensi-dimensi lain makna kehidupan ini. Tapi apa yang paling berharga adalah kesungguhan ibu mempertahankan keperluan asas untuk saya mendapatkan pendidikan.

Terima kasih kepada semua guru-guru yang tabah mendidik diri saya mengenal huruf dan makna pengetahuan yang maha luas ini.

Petikan dari buku Gelap Mata; Percikan Renungan Seorang OKU Penglihatan hlm 3-5