“Macam mana abang membaca” Tanya seorang gadis yang sedang duduk di hadapan.
Saya membiarkan dulu persoalannya.
“Saya membaca dalam jarak 2
atau 3 inci dari buku” Saya menjelaskannya sambil menghirup teh tarik panas.
“Tak. Maksud saya, bagaimana
abang boleh mulai minat membaca” Jelasnya pantas.
“Oh! Ingatkan apa tadi”
“Dorongan ingin tahu. Jika
sedar diri tidak tahu sesuatu perkara, ia akan mendorong kita untuk menjadi
tahu. Jadi membaca adalah caranya” Saya memberikan sedikit penjelasan.
ii)
Mungkin para pembaca budiman
kehairanan. Bagaimanakah seorang OKU Penglihatan seperti saya sangat minat
membaca?
Atau mungkin persoalan yang
lebih rumit lagi, bagaimanakah cara si buta membaca sedangkan ‘kebutaan’ mata
tentunya menghalang dirinya membaca?
Cuti persekolahan yang panjang
di penghujung tahun 1986 telah memulakan segala-galanya.
Biasanya dalam musim cuti
sekolah begini saya akan bermain air banjir. Kadang-kadang menolong ayah
mencabut ubi kayu untuk direbus.
Saya terpaksa tinggal saja di
rumah. Hujan lebat. Selalunya air naik sampai aras ke tiga mata tangga. Kalau
mengharung banjir pun sekitar rumah saja. Jika ayah ada kelapangan akan dibuatnya
rakit buluh.
Kebosanan yang amat sangat
mendorong saya meminta ayah mencarikan apa-apa buku untuk dibaca. Rumah kami
tiada apa-apa buku kecuali buku-buku sekolah abang dan kakak.
Salah satu tabiat ayah yang
dapat dikira pelik ialah gemar mengutip apa saja akhbar, majalah atau buku dari
tong sampah.
Ayah tidak boleh membaca apa
lagi mengenal apa-apa huruf. Tapi ayah mengenal angka dan mampu mengira sifir
dengan pantas.
Ayah memang seorang yang hebat.
Malah saya menganggap ayah adalah seorang pemikir jalanan sekali pun tidak tahu
membaca dan mendapat pendidikan formal.
Ayah bekerja sebagai penarik
beca. Ayah akan mengambil upah mengangkat barang-barang peraih dari stesen
keretapi ke gudang.
Dalam perjalanan balik ke
rumah, ayah akan melalui kawasan pembuangan sampah yang terletak tidak jauh
dari bandar Pasir Mas. Di situlah ayah akan mencari apa-apa benda yang masih
berguna terutama buku yang telah dibuang.
Suatu hari ayah membawa pulang
senaskah buku. Tak dapat dibayangkan bagaimana gembiranya saya ketika itu.
“Falsafah Hidup”, Begitulah
tajuknya.
Buku masih cantik. Cuma kulit
di bahagian belakang sudah terkoyak dan beberapa helaian halamannya kotor
dengan contengan pensel.
Buku yang ayah kutip dari tong
sampah tadi saya khatam berulang-ulang kali. Ia begitu memberikan kesan dalam
hidup saya sehingga ke hari ini. Inilah pertama kalinya saya mengenal nama Prof
Hamka.
Namun saya tetap rasa sedih
kerana buku Hamka yang diterbitkan oleh Pustaka Antara telah lama hilang dari
koleksi peribadi.
Saya boleh saja membeli naskah
cetakan yang baru tapi ianya tidak akan sama dengan kenangan abadi yang
tersimpan dalam helaian-helaian halaman buku yang dikutip oleh ayah dari tong
sampah itu.
iii)
Kami sekeluarga pindah ke
kampong asal tempat ayah dilahirkan. Ayah masih menarik beca dan mengambil upah
mengangkat barang-barang peraih.
Setiap kali ayah pulang ke
rumah sudah tentu ada akhbar yang dibelinya. Pada hal upah yang ayah terima
tidak seberapa. Tapi ayah tetap membeli suratkhabar untuk anak-anaknya.
“Biar anak-anak suka membaca.
Jangan seperti ayah yang buta huruf” Katanya sambil berseloroh.
“Ayah!, nanti belikan buku
untuk Li” Saya memandang ayah yang sedang memunggah barang-barang dapur dari
beca ke anjung rumah.
“Nanti esok ayah belikan”
Sahutnya ringkas.
Saya melompat gembira. Tidak
sabar rasanya menanti hari esok.
Esoknya seperti biasa ayah
membeli akhbar. Ayah menunjukkan buku yang baru dibelinya.
“Risalah Hukum Jimak”
“Wah! Menariknya tajuk ini.
Buku tentang aapa ni”
Saya terus saja ke bilik untuk
memulakan pembacaan.
Untuk seorang anak remaja dalam
usia 13 tahun yang sudah pun berkhatan tentunya buku seperti ini amat menarik
dikhatam ketika itu.
“Buku macam ni tak boleh baca”
Tiba-tiba suara kakak muncul sambil menarik buku yang sedang saya pegang.
“Ini buku untuk orang nak
kahwin macam kakak ni” Katanya lagi sambil berlalu ke dapur.
Kakak saya memberitahu emak
perkara tersebut. Emak membebel panjang pada ayah. Ayah Cuma diam saja.
“Cina muaalaf kat pasar tadi
yang cadangkan” Kata ayah seperti membela diri.
Tapi saya puas kerana sempat
menghabiskan membaca Risalah Hukum Jimak. Saya membacanya dalam keadaan
berdebar-debar dan penuh keghairahan.
Baru saya faham kenapa kakak
mahu berkahwin. Kenapa saya bermimpi akil baligh. Dan kenapa pula perlu mandi
wajib.
Rupanya buku ini masih ada di
pasaran. Saya selalu tersenyum sendiri bila terpandang buku yang tersusun rapi
dalam rak kedai buku Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Saya akan membelinya semula
untuk dijadikan koleksi kenang-kenangan abadi.