Jumaat, 19 Ogos 2016

Ayah dan Risalah Hukum Jimak



“Macam mana abang membaca” Tanya seorang gadis yang sedang duduk di hadapan.

Saya membiarkan dulu persoalannya.

“Saya membaca dalam jarak 2 atau 3 inci dari buku” Saya menjelaskannya sambil menghirup teh tarik panas.

“Tak. Maksud saya, bagaimana abang boleh mulai minat membaca” Jelasnya pantas.

“Oh! Ingatkan apa tadi”

“Dorongan ingin tahu. Jika sedar diri tidak tahu sesuatu perkara, ia akan mendorong kita untuk menjadi tahu. Jadi membaca adalah caranya” Saya memberikan sedikit penjelasan.

ii)


Mungkin para pembaca budiman kehairanan. Bagaimanakah seorang OKU Penglihatan seperti saya sangat minat membaca?

Atau mungkin persoalan yang lebih rumit lagi, bagaimanakah cara si buta membaca sedangkan ‘kebutaan’ mata tentunya menghalang dirinya membaca?

Cuti persekolahan yang panjang di penghujung tahun 1986 telah memulakan segala-galanya.

Biasanya dalam musim cuti sekolah begini saya akan bermain air banjir. Kadang-kadang menolong ayah mencabut ubi kayu untuk direbus.

Saya terpaksa tinggal saja di rumah. Hujan lebat. Selalunya air naik sampai aras ke tiga mata tangga. Kalau mengharung banjir pun sekitar rumah saja. Jika ayah ada kelapangan akan dibuatnya rakit buluh.

Kebosanan yang amat sangat mendorong saya meminta ayah mencarikan apa-apa buku untuk dibaca. Rumah kami tiada apa-apa buku kecuali buku-buku sekolah abang dan kakak.

Salah satu tabiat ayah yang dapat dikira pelik ialah gemar mengutip apa saja akhbar, majalah atau buku dari tong sampah.

Ayah tidak boleh membaca apa lagi mengenal apa-apa huruf. Tapi ayah mengenal angka dan mampu mengira sifir dengan pantas.

Ayah memang seorang yang hebat. Malah saya menganggap ayah adalah seorang pemikir jalanan sekali pun tidak tahu membaca dan mendapat pendidikan formal.

Ayah bekerja sebagai penarik beca. Ayah akan mengambil upah mengangkat barang-barang peraih dari stesen keretapi ke gudang.

Dalam perjalanan balik ke rumah, ayah akan melalui kawasan pembuangan sampah yang terletak tidak jauh dari bandar Pasir Mas. Di situlah ayah akan mencari apa-apa benda yang masih berguna terutama buku yang telah dibuang.

Suatu hari ayah membawa pulang senaskah buku. Tak dapat dibayangkan bagaimana gembiranya saya ketika itu.

“Falsafah Hidup”, Begitulah tajuknya.

Buku masih cantik. Cuma kulit di bahagian belakang sudah terkoyak dan beberapa helaian halamannya kotor dengan contengan pensel. 

Buku yang ayah kutip dari tong sampah tadi saya khatam berulang-ulang kali. Ia begitu memberikan kesan dalam hidup saya sehingga ke hari ini. Inilah pertama kalinya saya mengenal nama Prof Hamka.

Namun saya tetap rasa sedih kerana buku Hamka yang diterbitkan oleh Pustaka Antara telah lama hilang dari koleksi peribadi.

Saya boleh saja membeli naskah cetakan yang baru tapi ianya tidak akan sama dengan kenangan abadi yang tersimpan dalam helaian-helaian halaman buku yang dikutip oleh ayah dari tong sampah itu.

iii)

Kami sekeluarga pindah ke kampong asal tempat ayah dilahirkan. Ayah masih menarik beca dan mengambil upah mengangkat barang-barang peraih.

Setiap kali ayah pulang ke rumah sudah tentu ada akhbar yang dibelinya. Pada hal upah yang ayah terima tidak seberapa. Tapi ayah tetap membeli suratkhabar untuk anak-anaknya.

“Biar anak-anak suka membaca. Jangan seperti ayah yang buta huruf” Katanya sambil berseloroh.

“Ayah!, nanti belikan buku untuk Li” Saya memandang ayah yang sedang memunggah barang-barang dapur dari beca ke anjung rumah.

“Nanti esok ayah belikan” Sahutnya ringkas.

Saya melompat gembira. Tidak sabar rasanya menanti hari esok.

Esoknya seperti biasa ayah membeli akhbar. Ayah menunjukkan buku yang baru dibelinya.

“Risalah Hukum Jimak”

“Wah! Menariknya tajuk ini. Buku tentang aapa ni”

Saya terus saja ke bilik untuk memulakan pembacaan.

Untuk seorang anak remaja dalam usia 13 tahun yang sudah pun berkhatan tentunya buku seperti ini amat menarik dikhatam ketika itu.

“Buku macam ni tak boleh baca” Tiba-tiba suara kakak muncul sambil menarik buku yang sedang saya pegang.

“Ini buku untuk orang nak kahwin macam kakak ni” Katanya lagi sambil berlalu ke dapur.

Kakak saya memberitahu emak perkara tersebut. Emak membebel panjang pada ayah. Ayah Cuma diam saja.

“Cina muaalaf kat pasar tadi yang cadangkan” Kata ayah seperti membela diri.

Tapi saya puas kerana sempat menghabiskan membaca Risalah Hukum Jimak. Saya membacanya dalam keadaan berdebar-debar dan penuh keghairahan.

Baru saya faham kenapa kakak mahu berkahwin. Kenapa saya bermimpi akil baligh. Dan kenapa pula perlu mandi wajib.

Rupanya buku ini masih ada di pasaran. Saya selalu tersenyum sendiri bila terpandang buku yang tersusun rapi dalam rak kedai buku Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Saya akan membelinya semula untuk dijadikan koleksi kenang-kenangan abadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan